
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah  kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban  adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada  bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban  ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dinamakan demikian kerana  orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran ke mana-mana tempat  untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu  di gua-gua.
Sebahagiannya pula mengatakan sebab diertikan  demikian kerana ia sebagai pemisah iaitu memisahkan di antara bulan  Rejab dan Ramadhan.
Menurut Yahya bin Mu'adz pula : Sesungguhnya  perkataan Syaaban itu terbentuk dari lima huruf, yang mana setiap huruf  merupakan singkatan kurnia kepada orang-orang yang beriman. adalah  singkatan yang bererti kemulian dan pertolongan, singkatan kepada yang  bererti keperkasaan dan keutamaan, singkatan kepada ertinya kebaikan,  singkatan bagi ertinya rasa kasih sayang dan singkatan bagi yang bererti  cahaya.
Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan  Syaaban itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa pada bulan ini adalah masa  untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai  latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.
Rasulullah  SAW bersabda yang maksudnya : "Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan  bulan Syaaban?" Mereka menjawab : "Allah dan Rasul-Nya lebih  mengetahui". Baginda bersabda : "Kerana di dalam bulan itu berkembanglah  kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Keutamaan  Bulan SyaabanDiriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada  Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya :  "Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa  Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami  menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah  melihat Baginda berpuasas ebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan  aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih  banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan  Muslim).
Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini  menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi  pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan.
Selain  dari itu, Rasulullah SAW pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini  dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda  Baginda yang maksudnya : "Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan  yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang  lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain  adalah seperti keutamaan  Allah Taala ke atas makhluk-Nya."
Amalan-amalan di bulan Syaaban
Di antara  amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
1.  Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan  terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam  bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu  adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam  memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan     mengagungkan bulan  Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah  hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :  "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari  pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah  Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan  seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh  tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang  mati syahid."
2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat  kepada Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang  mengagunkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta  menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua  dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam  bencana dan penyakit." (Dipetik dari  kitab Zubdatul Wa'izhin)
3.  Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia  berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk  bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Sebahagian  ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah  kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban  adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada  bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Malam  Nisfu Syaaban
Malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam  Nisfu Syaaban adalah satu malam yang sunat dirayakan dalam syariat  Islam kerana ia merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.
Malam  nisfu Syaaban ini sayugialah kita hidupkan dengan membaca Surah Yaasiin  tiga kali selepas sembahyan fardhu Maghrib. Dan setiap kali lepas  membaca Yaasiin akan dibaca doa. Pada bacaan Yaasiin pertama diniatkan  dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan   memohon agar dijauhkan dari bala dan pada bacaan ketiga diniatkan  memohon murah rezeki yang halal. Cara lain ialah menghidupkan malam  nisfu Syaaban dengan berhimpun membaca zikir dan Al Quran.
Doa  Malam Nisfu Syaaban.
Ertinya : Allahumma Ya Allah Ya Tuhan yang  empunya kurniaan, dan tiada siapa mengurniakan kepada-Nya, ya Tuhan yang  empunya kemuliaan dan kebesaran, ya Tuhan yang empunya kurniaan, tiada  Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud ini melainkan  Tuhan hamba sahaja, tempat sandaran hamba-hamba Tuhan yang memohon  perlindungan, dan tempat perlindungan hamba-hamba Tuhan, yang mohon  keselamatan, dan tempat keselamatan hamba-hamba Tuhan yang di dalam  ketakutan. Kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi  Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz, akan seorang yang celaka, maka hamba  mohon akan hapuskan daripada hamba nama kecelakaan itu, dan mohon  tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba akan seorang yang berbahagia. Dan  kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba  dalam Loh Mahfudz akan seorang yang ditegah dari kebajikan, dan seorang  yang disempitkan rezeki hamba, maka hamba mohon hapuskan tegahan itu  daripada hamba, dan mudahkan rezeki hamba, dan hamba mohon tetapkan  hamba di sisi Tuhan hamba, akan seorang yang berbahagia dan seorang yang  ditaufikkan dengan kebajikan kerana bahawasanya Tuhan hamba telah   berfirman dalam kitab yang telah Tuhan hamba turunkan (Al Quran)  maksudnya : "Allah Taala menghapuskan apa yang Dia hendak hapuskan, dan  Dia tetapkan apa yang Dia hendak tetapkan dalam suatu kitab dan di  sisinya Loh Mahfudz."