Friday, August 19, 2011

Berbaik sangka..


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12

Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):

Sebagai lanjutan kepada ayat ke-11

Pengajaran ayat:

Dalam ayat ke-12 ini Allah (SWT) menetapkan satu lagi larangan dalam konsep pembinaan persaudaraan dalam Islam. Dua larangan awal dalam ayat ke-11 adalah berbentuk zahir berbeza dengan sifat prasangka dan mengintip-intip dalam ayat ke-12 yang bersifat tersembunyi.

3. Ayat dimulakan dengan larangan Allah (SWT) terhadap sifat bersangka-sangka (dengan persangkaan buruk – su’ul dzan). Persaudaraan yang kukuh mustahil dapat dibentuk kalau wujudnya sikap bersangka-sangka buruk terhadap satu sama lain. Dari Abu Hurairah, Rasulullah (SAW) bersabda “Jauhilah bersangka-sangka kerana ianya satu penipuan dalam berkata-kata” (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Syak wasangka yang dizahirkan dengan ucapan mudah tergelincir kepada fitnah dan mengumpat (ghibah). Dapatlah disimpulkan bahawa keburukan fitnah dan mengumpat (ghibah) itu sebenarnya adalah berakar umbi dari sifat-sifat syak-wasangka.

Seorang Islam yang beriman seharusnya tidak menzahirkan sebarang anngapan buruk terhadap saudaranya sebagaimana pesan sebuah hadis dari Rasulullah (SAW) yang dilapurkan oleh Abu Hurairah “Allah (SWT) tidak akan melihat niat buruk seseorang itu sehinggalah dia menyuarakannya atau melakukannya”. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dilapurkan, berkata Umar Al-Khattab “Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik juga” (riwayat Ibnu Katsir dan Imam Malik)

Ayat ke-12 ini diakhiri dengan larangan mengumpat (ghibah, berbicara buruk) yang lahir dari perasaan syak-wasangka. Perbuatan ghibah ini adalah antara faktor utama yang meruntuhkan persaudaraan (ukhwah) sesama Islam. Rasulullah (SAW) pernah ditanya “Wahai Rasulullah, apa sebenarnya Ghibah itu?” Rasulullah (SAW) menjawab, “Iaitu berkata sesuatu tentang saudaramu yang dia tidak suka”, ditanya lagi “Bagaimana kalau ianya benar?” Rasulullah (SAW) menjawab “Sekiranya apa yang kau katakan itu benar engkau telah melakukan ghibah dan sekiranya tidak engkau telah melakukan fitnah”.

AlhamduliLlah, sekian saja tafsir ringkas untuk ayat 9-12 dari surah Al-Hujuurat, semoga ada manfaat untuk yang bertanya dan warga fikrah lainnya.

Tuesday, August 16, 2011

"Puasa itu Untuk Ku, Aku yg akan membalasnya"


Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda : Semua amalan Anak Adam untuknya kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. Mengapa disebut “puasa itu untuk-ku” sedangkan Alah tidak berhajat (perlu) dan tidak mengambil sebarang faedah daripada amalan kita? Bukannya Allah menjadi lebih berkuasa atau lebih besar apabila kita berpuasa.

Puasa itu untuk-Ku”

Hakikatnya semua amalan adalah untuk faedah kita, Allah tidak mengambil sebarang faedah dari amalan kita samada amalan wajib atau sunat. Disebut puasa itu untuk-Ku” kerana puasa adalah satu ibadat yang tersembunyi dan tiada pengecaman, misalnya kita boleh berpura-pura puasa di hadapan orang dan boleh tinggal puasa semasa bersendirian. Ibadat lain ada pengecaman, orang yang sedang rukuk atau sujud itu dikatakan bersembahyanglah dia. Orang yang memakai ihram maka dikatakan dia sedang melakukan ibadat haji atau umrah. Orang yang berpuasa pula tidak dapat dicam samada dia puasa atau tidak kerana seseorang boleh makan di rumahnya dan membersihkan mulutnya sebelum keluar rumah dan berpura-pura letih dan nampak moyok di hadapan orang lain. Kerana itulah dikatakan ibadat puasa itu untuk Allah.

“Aku akan membalasnya“

Allah handle sendiri penilaian ibadat puasa Ramdahan dan tidak diserahkan kepada malaikat. Malaikat cuma mencatitkan yang seseorang itu sedang berpuasa, tetapi malaikat tidak tahu nilai pahala puasa orang itu. Bagi ibadat-ibadat lain pula malaikat mengetahui dan mencatitkan nilai pahalanya. Allah sahaja yang tahu nilai, mutu pahala puasa kita dan nilai ketakwaan puasa seseorang itu. Semua pahala atau ganjaran amalan ibadat lain (selain puasa) Allah beri melalui sesuatu, tetapi pahala puasa diberi secara “direct” dari Allah.

Apabila Allah sendiri yang membalasnya, maka tentulah tersangat besarlah nilai pahala puasa yang berkualiti itu. Ini menunjukkan status Allah sebagai pemberi ganjaran. Seorang yang tinggi statusnya sudah pasti akan mampu memberi lebih banyak dari orang yang dibawahnya. Misalnya seorang wakil rakyat mampu memberi lebih berbanding seorang imam. Apalagi bila Allah yang memberi, sudah pasti banyak pemberiannya.

Hadith ini juga boleh dibaca secara majhul dan tafsiran lain pula ialah “balasan bagi puasa ialah Allah”, bermakna Allah menjanjikan Dialah balasan bagi orang berjaya puasa, iaitu tuan syurga. Apabila tuan syurga sudah diperolehi maka secara automatiklah mendapat syurga.