Sunday, May 9, 2010

Hari Ibu??


Memilih tarikh Saidatina Khadijah wafat lebih mulia bagi umat Islam

TANGGAL 10 Mei lalu, ramai meraikan Hari Ibu, tetapi mungkin masih ada yang tidak tahu mengapa ia disambut pada hari itu dan bagaimana sambutan bermula.

Sambutan kebesaran yang dikatakan bermula pada zaman Mesir purba untuk memberi penghormatan kepada Dewi Isis, atau Dewi Cybele di Rom, atau Dewi Rhea di Greek. Di Eropah pula sambutan 'Mother Church' diraikan bagi menghargai gereja kerana pembaptisan.

Sehinggalah sambutan Hari Ibu akhirnya diiktiraf seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun sempena memperingati wanita bernama Anna Reeves Jarvis, kematiannya menyebabkan anak perempuannya, Anna M Jarvis memulakan kempennya mewujudkan sambutan Hari Ibu secara rasmi.

Dalam petisyennya kepada gereja di mana ibunya berkhidmat sebagai tenaga pengajar setiap hari Ahad, permintaannya untuk memilih tarikh 10 Mei 1908 sebagai Hari Ibu dimakbulkan dan sambutan dibuat secara rasmi di West Virginia walaupun Hari Ibu sudah diraikan masyarakat beragama Kristian seawal 1840.

Tarikh yang sama jugalah pada setiap tahun kita meraikannya untuk menghargai ibu. Bukan mentakwilkan keperluan meraikan ibu, tetapi menggembirakan mereka tarikh sama Anna M Jarvis memperingati ibunya yang menghambakan diri kepada gereja sehingga akhir hayatnya bagaikan satu sindiran kepada umat Islam yang sepatutnya mengingati, menghargai dan mendoakan ibu setiap hari atau sekurang-kurangnya bukan pada tarikh itu.

Andainya kita boleh memilih tarikh untuk mengingati ibu yang sudah pergi, alangkah indah jika hari terakhir Saidatina Khadijah di dunia ini diingati untuk disedekahkan Al-Fatihah dan doa, supaya seluruh ibu turut diingati.

Bagaimanapun, terpulanglah kepada anak untuk memikirkan cara menghargai ibu, tetapi yang paling utama buat seorang ibu ialah doa anaknya.

Doa begitu sinonim dengan hajat untuk mendapatkan sesuatu diingini. Doa juga permohonan kepada Allah supaya diberi perlindungan daripada malapetaka dan bala bencana. Lazimnya manusia berdoa apabila sudah berusaha dan berikhtiar, ada juga yang berdoa tanpa melakukan apa-apa.

Allah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu dari-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat. Allah berfirman bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu." (Surah Al-Mu'min, ayat 60)

Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan Ilahi setiap waktu menghadapnya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik dari Allah supaya ibu sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan, juga digolongkan bersama orang solehah di akhirat kelak.

Perlu diingat, tiada siapa paling bermakna doanya kepada ibu melainkan anak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila anak Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Banyak peristiwa malang berlaku hari ini kepada anak dilahirkan tanpa disengaja. Mereka akhirnya dibuang merata, tiada kasih dan simpati tertumpah. Apapun yang berlaku dan bagaimana latar belakang kisahnya, setiap anak harus menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah dosa mereka diampunkan.

Terakam dalam surah Ibrahim bermaksud: "Ya Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)." (Surah Ibrahim, ayat 4)

Anak yang sedari kecil dikasihi dan dilimpahkan sepenuh kasih sayang, mohonlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil." (Surah al-Israa, ayat 24)

Sesungguhnya doa membuktikan bahawa kita makhluk yang hina dan lemah serta sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Walaupun di dunia ini kita memiliki ibu yang penyayang, mereka akan pergi juga apabila sampai waktunya. Sebaik-baik doa untuk ibu adalah ditadahkan oleh anak dicintai Allah, memelihara makan minum dan pakainya, tidak mengabaikan tanggungjawab menyeru amar makruf dan nahi mungkar sesama manusia, sentiasa bertaubat, positif dan bersangka baik serta bersungguh-sungguh.

Berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia yang masih bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah dan larangan-Nya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

6 comments:

atuk said...

Assalamualaikum Jimie

terima kasi atas info ini

Wassalam

Azima said...

Salam Ziarah..

Mekasih atas perkongsian ini..

Bagi saya setiap hari dan detik adalah hari istimewa bersama ibu..meskipun dia telah tiada,doa sentiasa dititipkan...Tiada apa yg lebih bererti bagi seorang anak dari mendoakan kebahagian ibunya...dunia dan akhirat

Hargai & kasihi ibu selagi hayat dikandung badan...

mak siti said...

assalamualaikum anakanda jimie.terima kasih atas info ni. patut kita org islam ni perhatikan lah benda2 begini. sebenar nya bagi mak siti setiap hari ada lah hari ibu, setiap hari berdoa utk ibu.moga ALLAH ampunkan dosa ibu dan bapa kita semua. izinkan mak siti sebarkan utk kwn2 info ini.

JiMiE said...

salam abg rozali

salam2 bang..moga sama2 memberikan manfaat

wassalam

JiMiE said...

salam kak azima

doa seorang anak akan terus sampai kepada Allah..

wassalam

JiMiE said...

salam mak siti

Alhamdulillah..moga kita sama2 mendapat ikhtibar dan manfaat..terima kasih kerana sudi datang ke blog ana..sama2 memanjangkan ilmu :)

wassalam