Friday, September 4, 2009

Peristiwa Agung 17 ramadan


Awwalan saya mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu Wata 'ala yang telah memberikan rahmat kepada kita untuk menikmati hidup di dalam aman dan damai serta sihat walafiat. Selawat serta salam saya hadapkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang telah menyampaikan ajaran Islam kepada kita untuk menjadi panduan hidup bagi mendapatkan keredaan Allah dan mudah-mudahan kita akan termasuk ke dalam golongan ahli syurga. Hari ini masuk hari yang ke 14 kita melangkah di bulan ramadan.3 hari lagi kita umat Islam di seluruh dunia akan menyambut peristiwa agung di dalam islam iaitu peritiwa 17 Ramadan Nuzul Al Qur'an.

Peristiwa 17 Ramadan adalah salah satu hari yang berlakunya peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa Nuzul Al-Qur'an yang berlaku pada 17 Ramadan di Gua Hira' tahun ke 41 daripada keputeraan nabi muhammad Sallahllahu Alaihi Wasallam menjadikan satu peristiwa agung dalam kehidupan Baginda sehingga seterusnya diturunkan berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab suci Al-Qur'an karim yang ada pada hari ini. Al-Qur'an merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al Baqarah ayat 185 yang mafhumnya:

"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah"

Al-Qur'an diturunkan beransur-ansur dalam masa dua puluh dua tahun, dua bulan dan dua puluh dua hari(dua puluh tiga tahun). tiga belas tahun di mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Al-Qur'an adalah hidayah, rahmat, syifa, an-nur, al furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Dalam Sejarah kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ayat Al-Qur'an yang mula-mula sekali diturunkan Allah kepada baginda melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah 5 ayat awal daripada Surah Al-'Alaq yang mafhumnya:

"Bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku: Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya"

Oleh itu marilah kita sama-sama menghayati rahsia dan rahmat yang terdapat di dalam Al-Qur'an selagimana kita masih berada di bulan Ramadan yang penuh suci dan berkat,dimana bulan ini di turunkan Al-Qur'an di dalamnya.Perbanyakkan ibadah dengan membaca Al-Qur'an sehingga khatam keseluruhannya kerana pahala orang yang membaca adalah pahala yang belipat kali ganda ganjarannya dari bulan-bulan yang lain. Insyallah Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al Qur'an pada hari Ahad bersamaan dengan 6 September 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas bermula jam 9 malam. Marilah kita beramai-ramai menghadiri majlis ilmu yang penuh dengan berkah ini, semoga kita sama-sama mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Ameen.

Tema Sambutan Nuzul Al-Qur'an pada tahun ini ialah :

"Kedewasaan Bernegara Dengan Zikir".

No comments: